KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan dan kementerian berkaitan perlu lebih fokus dalam usaha menoktahkan miskin tegar di negeri itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam catatan terbaharu di laman media sosialnya, Perdana Menteri berkata, beliau menjangkakan isu tersebut boleh diselesaikan dalam tempoh dua bulan.

Selain itu beliau berkata, semua kementerian dan agensi yang berkaitan juga dapat memberi perhatian khusus dan segera bagi memastikan kelancaran perancangan dan pelaksanaan projek-projek di Kelantan secara berkesan.

“Insya-Allah, projek-projek ini merupakan inisiatif berimpak tinggi kepada rakyat, khususnya warga Kelantan di kawasan luar bandar yang akan menikmati manfaat dalam jangka masa panjang,” jelasnya..


Terdahulu Perdana Menteri tiba di Kota Bharu pada awal Khamis bagi menghadiri mesyuarat tersebut, selain menyerikan lagi Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024, peringkat Negeri Kelantan.

Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) disambut Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud, dan beberapa Menteri Persekutuan.

Dalam pada itu Perdana Menteri menjelaskan, aspek penyelarasan dan koordinasi adalah taakul utama yang perlu diambilkira dalam menyelesaikan isu rakyat yang mendesak termasuk di Kelantan.

Anwar menegaskan, perkara itu telah beliau bangkitkan sewaktu menghadiri Taklimat Pembangunan Negeri Kelantan, yang buat kali pertamanya beliau pengerusikan dalam membincangkan penyelesaian isu-isu pembangunan di negeri Kelantan

“Sementelahan, isu rakyat seperti kemiskinan tegar, pembangunan infra dan kemudahan asas adalah tekad komitmen berterusan Kerajaan Madani untuk diselesaikan, sebolehnya dengan kadar segera agar tidak terus membelenggu pihak terkesan,” katanya.